PKPB di Lembah Klang, jalan terbaik cegah penyebaran Covid-19
  • 4 years ago
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mengakui peringatan Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) agar tidak menggunakan sekatan menyeluruh (lockdown) sebagai kaedah utama untuk mengendalikan virus kerana boleh memberi kesan dramatik kepada kemiskinan.

Namun kata Dr Noor Hisham, ini adalah cabaran bagi KKM dan kerajaan untuk mencapai keseimbangan antara kehidupan dan mata pencarian.

Sekatan keseluruhan (total lockdown) akan menjadi keadaan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal, tetapi untuk mencapai keseimbangan antara keselamatan dan ekonomi rakyat, kerajaan memilih untuk melaksanakan PKP Bersyarat (PKPB) sebagai gantinya.

"Kami mengurangkan (kes) dengan mengadakan PKPB, di mana kami membenarkan sektor ekonomi berfungsi tetapi kami menyekat pergerakan untuk sektor sosial, pendidikan dan juga sukan."

Awal hari ini, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan bahawa kerajaan akan mengenakan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, berkuat kuasa 12.01 tengah malam pada hari Rabu (14 Okt) hingga 27 Oktober 2020.