Dr Asri ulas isu Zakir Naik
  • 5 years ago
Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menasihati pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik supaya tidak menyentuh soal politik negara ini kerana ini boleh menimbulkan persepsi negatif.

Malah menurut Mohd Asri, beliau sendiri ada memberitahu perkara itu secara peribadi kepada Zakir.

"Secara peribadi, untuk bagi adil. Saya bagi tahu dia (Zakir) secara personal (peribadi) tak usah cakap la benda berhubung isu politik tempatan Malaysia ini.

"Pada saya ia tidak sesuai untuk diperkatakan oleh beliau. Walaupun mungkin sebahagian apa dia cakap itu betul, tetapi menimbulkan persepsi lain kerana status dia dan seumpamanya," kata Asri melalui satu rakaman kuliah yang disiarkan di Facbooknya, hari ini.

Semalam, Zakir mendakwa kenyataannya yang menyentuh tentang masyarakat Cina di Malaysia sebagai "tetamu" telah diambil di luar konteks.

Walaupun tidak menafikan petikan kata-kata yang dikaitkan denganya, Zakir berkata kenyataan itu bertujuan memberikan konteks sejarah tentang penyebaran Islam di wilayah ini, serta migrasi orang Cina dan India ke Malaysia.

Zakir berkata, kata-kata itu tidak boleh dianggap sebagai seruan agar masyarakat Cina di Malaysia keluar dari negara ini.

Kenyataan itu dibuat dalam satu syarahan di Kota Bharu, Kelantan pada 8 Ogos lalu.

Dalam program itu, beliau juga didakwa membuat dakwaan berkenaan sejumlah penganut Hindu di Malaysia yang memilih untuk menyokong Perdana Menteri India, Narendra Modi, berbanding Dr Mahathir Mohamad.

Zakir juga berkata kenyataan itu disalah petik, dan menjelaskan beliau merujuk secara khusus terhadap mereka yang menyokong permohonan India untuk mengekstradisinya.

Bagaimanapun Mohd Asri mempertahankan kenyataan Zakir berhubung isu "tetamu" dan mendakwa ia tidak seperti yang digembar-gemburkan pelbagai pihak ketika ini.

"Tapi bukannya ucapan beliau itu, kalau tengok betul-betul bukan dia suruh halau keluar, dalam konteks itu yang kita faham tidaklah seteruk yang mereka faham.

"Yang kata Melayu pendatang lebih teruk, tapi tak ada orang suruh dia keluar," katanya.

Dalam pada itu Mufti Perlis itu berkata beliau sedia mengkritik pendakwah bebas dan tetap tidak bersetuju dengan ungkapan yang digunakan Zakir sehingga mencetuskan kontroversi.

Walaupun Zakir mendakwa kenyataan dipetik di luar konteks, namun bagi Mohd Asri adalah lebih baik beliau tidak menyebutnya langsung.

"Saya bersedia kritik Zakir. Saya kata saya tak setuju dengan ungkapan dia tu walaupun dipetik luar konteks, tapi tak payah cakap lah benda itu," tambahnya.