Maszlee ulas kenyataan Dr M isu martikulasi 'pintu belakang' Melayu masuk IPTA
  • 5 years ago
Apabila ditanya mengenai usaha KPM dalam menyelaraskan sukatan mata pelajaran Sijil Pengajian Tinggi Malaysia (STPM) dan program matrikulasi, yang sebelum ini menjadi pertikaian banyak pihak, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik hanya berkata kementeriannya sedang meneliti untuk mengkaji sistem pendidikan sedia ada.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan secara khusus bagaimana usaha itu akan dilakukan.

“Kita sedang meneliti sepertimana yang kita tahu kita sedang dalam usaha melihat keseluruhannya sistem pendidikan di negara ini.

“Dan itu termasuk sebahagian daripada apa yang kita perhatikan juga,” katanya.

Pada masa sama, beliau yang turut mengulas mengenai kenyataan Mahathir semalam mengenai program matrikulasi diwujudkan sebagai “pintu belakang” buat kaum Melayu memasuki institusi pengajian tinggi awam.

“Pertamanya Dr Mahathir merujuk kepada asal-usul penubuhan program matrikulasi itu sendiri.. untuk mempertingkat bilangan bumiputera yang mengambil jurusan sains di universiti awam.

“Kerana didapati kurangnya penyertaan bumiputera dalam bidang sains dan juga kurang penyertaan bumiputera di alam pekerjaan, dalam bidang yang melibatkan Sains,” katanya.
Pada 29 April lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan penambahan kuota ke Program Matrikulasi daripada 25,000 kepada 40,000 orang.

Penambahan itu membolehkan penambahan pelajar bukan Melayu, pada masa sama mengekalkan kuota pengambilan pada tahap 90 peratus bumiputera dan 10 peratus bukan bumiputera.

Ia susulan desakan beberapa pemimpin MIC agar kementerian itu menjelaskan status pengambilan khas 2,200 pelajar India ke kolej matrikulasi yang diamalkan ketika pentadbiran BN.

Terdahulu, terdapat dakwaan bahawa sebahagian kuota untuk kaum India telah diberikan kepada pelajar Cina.