Maszlee enggan ulas isu pembelajaran Jawi
  • 4 years ago
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik enggan mengulas isu pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu terus beredar meninggalkan sidang media sebaik soalan berkenaan diajukan pengamal media sebelum memasuki kenderaan rasminya selepas sesi lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Keramat Wangsa di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kabinet mengekalkan keputusan untuk meneruskan pembelajaran tulisan Jawi dalam subjek Bahasa Melayu kepada murid Tahun 4 di sekolah vernakular mulai tahun ini namun perlu mendapat persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa.

Keputusan itu dimuktamadkan selepas Kabinet sekali lagi membincangkan mengenai perkara berkenaan pada 14 Ogos lalu.

Bagaimanapun, sebanyak 12 pertubuhan pendidikan Cina dan Tamil dilapor menolak keputusan Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan Jawi dalam subjek Bahasa Melayu untuk pembelajaran murid Tahun 4 di sekolah vernakular.

Pertubuhan dipimpin Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) mendakwa pengenalan tulisan Jawi bagi murid di sekolah vernakular tidak bertepatan keperluan sebenar pembelajaran Bahasa Melayu.