Siswa UTM protes depan Parlimen, gesa Maszlee campur tangan isu yuran naik
  • 5 years ago
Sekumpulan siswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kampus Kuala Lumpur hari ini berhimpun di luar bangunan Parlimen bagi menuntut campur tangan Menteri Pendidikan Maszlee Malik untuk menyelesaikan isu yuran semester yang dinaikkan sejak 2015.

Mereka berkata yuran semester di Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) UTM naik dari RM945 kepada RM5,000 sejak empat tahun lepas.

Presiden MJIIT Voices Tan Cheng Siong, 22, berkata petisyen dan memorandum telah diberikan kepada pihak universiti sejak setahun setengah lalu namun masih tiada tindakan.

Terdahulu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjelaskan bahawa yuran Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) tidak akan berubah.

Menerusi kenyataan di Facebook pada 9 April, pihak Hal Ehwal Korporat universiti berkata MJIIT adalah sebuah entiti yang berautonomi dan tidak mendapat peruntukan operasi dari kerajaan.

“Kenyataan pelajar yang mengatakan UTM berdiam diri adalah tidak benar serta perkara yuran ini juga telah dijelaskan sebanyak dua kali kepada pelajar.

“Namun pelajar masih menuntut perkara yang sama dan pihak universiti tidak menghalang serta menerima baik memorandum daripada mereka,” katanya.
Recommended