Anwar mohon maaf, beri teguran keras pada Pemuda PKR
  • 5 years ago
Presiden PKR Anwar Ibrahim memohon maaf berhubung program berbuka puasa anjuran Pemuda PKR yang bersifat pesta.

"Kita terima sedikit bantahan dan kekesalan satu program dianjurkan oleh Pemuda PKR menyambut Ramadan iftar malam tadi dengan acara pesta-pestaan, lagu dan bunga api.

"Saya minta maaf ke atas keterlanjuran ini," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat majlis pimpinan pusat PKR pada Ahad yang turut disiarkan di Facebook.

Anwar bagaimanapun tidak memperincikan program yang dimaksudkan.

"Saya memberi teguran keras kepada Pemuda PKR supaya menghormati bulan Ramadan dan tidak menjalankan kegiatan yang menyimpang dari tradisi budaya Islam.

"Ketua Pemuda PKR menjelaskan program ini diselenggarakan oleh timbalan beliau dan saya minta Pemuda PKR supaya memperbaiki kelemahan ini," tambahnya.

Dalam pada itu, seorang pemimpin Pemuda PKR (AMK) yang terbabit dalam penganjuran acara Ramadan sehingga menyebabkan presiden parti Anwar Ibrahim terpaksa memohon maaf menafikan bahawa majlis berkenaan tidak sesuai dianjurkan pada bulan suci ini.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya Program Iftar Perdana bersama Timbalan Ketua AMK Malaysia yang berlangsung didakwa seperti pesta dan terdapat unsur-unsur yang melawan norma-norma budaya Islam.

"Untuk pengetahuan, program tersebut yang julung kali diadakan bertemakan semangat perpaduan dan bersifat meraikan bulan Ramadan dengan konsep kesederhanaan bersama pimpinan AMK dan 600 alumni program perlatihan dan kepimpinan AMK," kata wakil penganjur program itu, Akhram Ahmar, dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Akhram, antara tentatif program yang berlangsung adalah ceramah oleh Pencetus Ummah (PU) Taha, solat tarawih berjemaah, rakaman takbir raya dan persembahan lagu raya oleh kumpulan KGB Band yang merupakan bakat-bakat yang ada dalam AMK sendiri.

Beliau turut memberikan contoh program “Ramadan Jazz Festival” di Jakarta yang anjurkan ketika bulan puasa untuk menarik minat anak muda di samping turut menyelitkan unsur dakwah.

Kredit video: Parti Keadilan Rakyat
Recommended