Wanita dakwa pemandu Uber arah pegang kemaluan - Polis

  • 7 years ago
Susulan insiden seorang pemandu Uber dibelasah kerana dituduh mencabul penumpang di Pulau Pinang, tular tulisan adik ipar mangsa di media sosial tampil membuka mulut menceritakan perkara sebenar.

Dalam status yang dimuat naik Amyrul Shazafry di Facebooknya, dia menceritakan abang iparnya pernah mengambil penumpang wanita Vietnam selepas pulang dari kerja pada Selasa lalu, melalui aplikasi Uber.

Namun, keesokan harinya, abang iparnya menerima panggilan telefon daripada wanita Vietnam itu supaya mengambilnya ditempat yang sama.

Ketika sedang memandu, kereta abang iparnya telah ditahan sekumpulan lelaki yang bersenjatakan kayu.

Tanpa terus bertanya, abang iparnya itu terus dibelasah dan dipukul kumpulan terbabit.

Kemudian, salah seorang daripada kumpulan tersebut memberitahu wanita Vietnam itu mengadu dicabul dan ada bukti rakaman video.

Walaupun berterusan dibelasah, abang iparnya terus meminta video yang dirakam wanita terbabit, namun dia berkata video itu tidak ada.

Amyrul kesal kerana abang iparnya dibelasah tanpa usul periksa dan menuntut keadilan bagi kerosakan yang berlaku terhadap kecederaan yang dihadapi abang iparnya dan juga kereta yang turut dirosakkan kumpulan terbabit.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Anuar Omar berkata pemandu Uber tersebut ditahan susulan kejadian itu.

Katanya, wanita terbabit mendakwa pemandu Uber itu membuka zip seluar lalu mengarahkan wanita itu memegang kemaluannya.

Wanita itu segera memaklumkan kejadian berkenaan kepada suaminya yang berada di kawasan sekitar.

Polis juga turut mengesan mereka yang memukul pemandu Uber itu.