Kerajaan Amerika Syarikat (AS) didesak agar memutuskan secara terbuka segala bentuk sokongan terhadap rejim Zionis Israel dan provokasi ketenteraan ke atas Iran yang dianggap sebagai pencetus ketegangan di Asia Barat, lapor wartawan Sinar Harian, Izwan Rozlin.
Desakan itu dinyatakan dalam memorandum lima tuntutan utama yang diserahkan oleh lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia kepada Kedutaan AS pada Jumaat.
Ketika berucap pada Himpunan Tolak Perang: Malaysia Pertahan Palestin dan Kedaulatan Iran berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS), Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dunia Islam tidak boleh terus berdiam diri terhadap kekejaman rejim Zionis yang kini menyasarkan Iran selepas menghancurkan beberapa negara Arab sebelum ini.