SPRM: Tiada isu dengan sijil cuti sakit Rosmah
  • 4 years ago
SPRM telah meneliti sijil cuti sakit (MC) Rosmah Mansor dan mendapati tiada masalah dengannya, kata Ketua Pesuruhjaya Latheefa Koya.

Bercakap kepada pemberita pagi tadi, beliau menjelaskan badan antirasuah itu diminta untuk mengesahkan MC berkenaan yang dikeluarkan ekoran Rosmah gagal menghadiri hari pertama perbicaraan rasuahnya minggu lepas.

“Apa yang berlaku ialah masalah ini dibangkitkan di mahkamah berkaitan dengan MC yang dikeluarkan dan terdapat isu-isu mengenai penerangan tentang penyakit yang dialami (Rosmah) dan saya rasa konteks itu (peguam) bercakap tentang pencarian semula di Google dan semua itu."

“Saya rasa tiada masalah, kerana selepas itu pastinya, Rosmah hadir keesokkan harinya dan perbicaraan itu bermula. Jadi tiada isu,” kata Latheefa pada pelancaran APEC 2020 bertajuk Gender Mainstreaming and Women Empowerment to Fight Corruption symposium di Putrajaya.

Isnin lalu, peguam Jagjit Singh membawa MC itu ke mahkamah, yang menyatakan bahawa Rosmah tidak dapat hadir kerana spondilosis servikal, osteoartritis lutut dan kekurangan adrenal kronik.