Sah 16 orang positif dadah, bebas jaminan polis selepas diambil keterangan
  • 4 years ago
Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, semalam mengesahkan pihak berkuasa menahan 19 individu - termasuk enam wanita - dalam sebuan ke atas sebuah kondominium awal pagi kelmarin.

Katanya, kondominium itu terletak di Jalan Puchong.

Bagaimanapun di sebalik pengesahan tersebut Abdul Hamid enggan mendedahkan identiti mereka kerana perlu menunggu ujian saringan air kencing kali kedua.

Membuat kenyataan itu ketika orang ramai memperkatakan keberadaan Adun Dengkil, Adhif Syan Abdullah, dalam serbuan tersebut, Abdul Hamid menjelaskan serbuan berkenaan dilakukan sepasukan anggota keselamatan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields.

Daripada enam wanita yang ditahan itu, kata Abdul Hamid, seorang adalah warga asing, manakala selebihnya rakyat tempatan, termasuk seorang berbangsa Iban dan seorang lagi Sulu.

"Pemeriksaan dijalankan dan polis menemui satu paket plastik lut sinar disyaki berisi dadah jenis ketamine seberat 0.5 gram, satu piring kaca berisi serbuk disyaki jenis ketamine 0.3 gram, sebatang rokok berisi ceraian daun kering disyaki ganja, daun terup dan cip disyaki untuk permainan judi," katanya di Bukit Aman petang semalam.

Nama Adhif Syan menjadi perhatian sejak semalam tadi apabila tular maklumat yang mengaitkannya dengan serbuan - dan tangkapan - oleh polis berhubung siasatan kes dadah.

Katanya selepas keterangan mereka diambil polis membebaskan mereka dengan jaminan.

"Kecuali seorang wanita warga asing tersebut (yang masih ditahan)," katanya.

Menurut Abdul Hamid, serbuan dilakukan selepas polis mendapat maklumat daripada orang awam yang mengadu unit kediaman berkenaan bising dan menggangu penghuni lain.

Katanya serbuan dilakukan kira-kira jam 4.40 pagi Ahad.

Ditanya mengenai identiti individu yang disiasat itu, Abdul Hamid enggan kerana siasatan masih dijalankan dan polis perlu menunggu keputusan ujian saringan kali kedua.

Katanya, pendedahan identiti sebelum keputusan berkenaan diperolehi mungkin bersifat subjudis atau prejudis.

"Sebagaimana saya sebut tadi, saya tak boleh sebut nama.

"Kalau ada orang yang mengaku, saya persilakan, jawapannya boleh saya kongsi dengan pegawai penyiasat," katanya.

Ditanya bila keputusan ujian saringan kedua akan diperolehi, Abdul Hamid berkata, beliau tidak akan mendesak penyiasat terbabit kerana memahami beban tugas mereka.

"Saya takkan membebankan dan mendesak mereka," katanya.