RM15.5 juta: AG bekalkan butiran selepas jualan Equanimity
  • 5 years ago
Peguam Negara Tommy Thomas hari ini memberikan pecahan kos yang ditanggung oleh kerajaan selepas merampas dan kemudian menjual kapal layar mewah, Equanimity, yang didakwa diperolehi melalui dana 1MDB yang diselewengkan.

Secara keseluruhan, Thomas berkata kira-kira RM15.5 juta dibelanjakan untuk meahan kapal itu pada 6 Ogos tahun lalu dan menyelenggarakan kapal layar itu selama sembilan bulan sehingga 25 April sebelum diserahkan pemilikannya kepada anak syarikat Genting Malaysia Berhad, yang membeli kapal itu pada harga AS$126 juta.

“Jumlah sebanyak RM15.5 juta ini bukanlah jumlah yang muktamad. Walau bagaimanapun, kami yakin bahawa perbelanjaan-perbelanjaan yang masih belum dibayar jumlahnya adalah jauh lebih kecil.

“Secara relatifnya, jumlah ini, yang bersamaan dengan kira-kira AS$3.75 juta, adalah kecil untuk kesemua perkhidmatan yang telah diberikan oleh semua pihak selama sembilan bulan.

“Sekiranya kapal tersebut ditahan di tempat-tempat lain di dunia ini, kosnya mungkin boleh mencecah dua hingga tiga kali ganda lebih besar. Selanjutnya, tiada komisen yang perlu dibayar kepada broker kerana jualan ini dirundingkan secara terus,” katanya.