Apa status hasil jualan Equanimity? Ini jawab menteri

  • 5 years ago
Hasil jualan kapal Equanimity kira-kira RM527.4 juta dijangka didepositkan ke dalam Akaun Pemulihan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) atau Kementerian Kewangan pada Ogos ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata bagaimanapun jumlah perbelanjaan yang digunakan untuk menguruskan kapal layar itu akan ditolak terlebih dahulu daripada hasil jualan tersebut.

“Hasil jualan telah diterima sepenuhnya pada 23 April, 2019 dan kini disimpan di dalam Sheriff's Stakeholder Account (sebuah firma guaman tempatan) untuk tempoh tiga bulan bagi tujuan penyesuaian dengan tuntutan perbelanjaan penyelenggaraan kapal yang akan ditentukan melalui Perintah Mahkamah,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang ingin tahu mengenai nilai bersih hasil penjualan kapal Equanimity dan ke mana wang tersebut akan disalurkan.

Lim berkata hasil jualan kapal Equanimity akan digunakan untuk melunaskan komitmen hutang 1MDB.

Menurut beliau, nilai hutang keseluruhan semasa 1MDB berjumlah RM51.01 bilion, dengan RM40.6 bilion adalah prinsipal dan RM10.44 bilion adalah faedah.

Kapal Equanimity telah dijual kepada pembida tertinggi iaitu Genting Malaysia Bhd.