3877 akaun media sosial 'menyamar' berjaya dipadam SKMM

  • 4 years ago
Sejumlah 3,877 akaun media sosial menyamar dikesan dan 78 peratus daripadanya berjaya dipadam oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) setakat September lepas, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata faktor utama akaun-akaun itu dipadam ialah kerana penciptaan akaun palsu untuk tujuan penyamaran.

“Pemadaman akaun media sosial itu mendapat kerjasama pihak penyedia platform media sosial selaras dengan terma dan syarat yang disediakan oleh penyedia platform.

“Selain itu, sebanyak 1,564 pautan dan kandungan yang dipercayai berunsurkan buli siber dikesan oleh SKMM dengan 63 peratus daripadanya telah berjaya dipadam,” katanya ketika sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang ingin tahu jumlah pemilik akaun media sosial yang telah disekat penggunaannya dan apakah sebabnya.