Kerajaan serius tangani kemiskinan pesawah
  • 5 years ago
Isu kemiskinan di kalangan pesawah dan jaminan makanan menjadi perhatian utama kerajaan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata antara faktor yang menyumbang kepada kemiskinan dalam kalangan penanam padi adalah kerana mereka terlalu bergantung kepada subsidi serta tidak efisien dalam menggunakan sepenuhnya pemegangan tanah mereka.

Kerajaan, kata beliau, telah memperuntukkan lebih RM1.8 bilion setahun untuk memberi subsidi kepada 200,000 pesawah dan perlu mengimport AS$60 bilion makanan setahun.

“Kita dah ada terima beberapa perkara yang menyebabkan mereka menjadi miskin. Yang pertama ialah mereka mempunyai pemegangan yang terlalu kecil untuk memberi perolehan pulangan yang baik.

“Yang keduanya mereka tidak efisien. Di atas tanah yang satu ekar boleh keluar lapan tan, mereka keluar cuma empat tan,” kata perdana menteri pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di Putrajaya hari ini.