Daroyah dilantik timbalan speaker, Zakaria angkat sumpah ADUN Semenyih
  • 5 years ago
ADUN Sementa Dr Daroyah Alwi hari ini mengangkat sumpah sebagai Timbalan Speaker DUN Selangor yang baru.

Beliau menggantikan Mohd Khairuddin Othman yang dilantik sebagai exco jawatankuasa tetap pembangunan generasi muda dan sukan dan pembangunan modal insan pada Disember lalu.

Dr Daroyah adalah timbalan speaker wanita kedua di DUN Selangor selepas Hanizah Mohamed Talha (sebelum ini ADUN Taman Medan) pada 2008.

Turut mengangkat sumpah dalam istiadat pembukaan penggal kedua sidang DUN Selangor ke-14 ialah ADUN Semenyih, Zakaria Hanafi.

Kedua-dua mereka mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim.

Majlis angkat sumpah itu diadakan sebelum Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Kedua DUN Selangor, yang disempurnakan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.