Lokman mahu Najib dilantik sebagai ketua umum Umno
  • 5 years ago
Datuk Seri Najib Razak harus dilantik sebagai ketua umum Umno dan ketua pembangkang.

Dalam satu kenyataan, Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam berkata ini kerana Umno memerlukan seorang pemimpin berpengalaman dan dihormati oleh anggota Parlimen BN dan bekas wakil rakyatnya yang sudah lompat parti.

Lokman melontarkan cadangan itu atas alasan anggota Umno tidak dapat menerima kepimpinan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan yang katanya tidak mempertahankan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden parti ketika diserang pihak dalam parti.

Lokman berkata demikian selepas Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan tugas presiden kepada Mohamad Hasan malam tadi.

Zahid malam tadi mengumumkan menyerah tugas kepada Mohamad demi untuk menyelamatkan parti dan berharap tiada lagi wakil rakyatnya melompat parti.

Jelas Lokman, keputusan untuk Zahid bercuti dan menyerahkan tugas presiden kepada timbalannya “amat mendukacitakan”.

Beliau menyifatkan keputusan itu sebagai “kemenangan besar” Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang dakwanya menggunakan apa saja cara untuk menekan Zahid, termasuk dalam pemilihan Umno Jun lalu.

Ini bukan kali pertama Najib dicadangkan menjadi ketua umum Umno sejak pilihan raya umum ke 14 lalu.

Bagaimanapun, jawatan itu tiada dalam struktur perlembagaan parti buat masa ini.

Sehingga minggu lalu, 17 ahli Parlimen Umno sudah keluar parti menjadikan Umno sekarang tinggal 37 wakil di Dewan Rakyat.
Recommended