Itu pandangan peribadi KJ - Umno
  • 6 years ago
Teguran yang dibuat bekas ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin berhubung pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai di Terengganu baru-baru ini hanya pandangan peribadi beliau.

Naib Pengerusi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kenyataan Khairy itu tidak mewakili pandangan Umno memandangkan ia dibuat tanpa membabitkan keputusan majlis tertinggi parti itu

"Kalau pandangan parti mesti diputuskan oleh mesyuarat majlis tertinggi sekurang-kurangnya mesyuarat pengurusan Umno.

"Jadi sesiapa yang beri pandangan selain daripada keputusan daripada majlis tertinggi dan juga pengurusan Umno, itu adalah pandangan peribadi," katanya dalam sidang media di Bilik Operasi Induk PRK Seri Setia di Shah Alam, hari ini.

Ismail berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai kritikan Khairy terhadap hukuman sebat terhadap dua wanita lesbian.

Menurut Khairy terdapat cara lain bagi menyelesaikan isu mengena lesbian, gay, biseksual dan transgender.

Khairy yang juga Anggota Parlimen Rembau itu turut berkata walaupun termaktub dalam undang-undang, sebatan di khalayk ramai tidak wajar dilaksanakan.