'Itu pandangan peribadi Chef Wan'

  • 5 years ago
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali enggan mengulas mengenai kenyataan selebriti tukang masak Chef Wan terhadap segelintir peneroka Felda semalam.

Mohamed Azmin berkata kenyataan itu hanyalah pandangan peribadi selebriti itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Chef Wan atau nama sebenarnya Redzuawan Ismail semalam dinamakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai ikon Felda dalam satu acara di Rompin, Pahang.

Beliau selepas itu menulis di Instagram, yang antaranya menasihatkan orang Felda supaya meninggalkan sikap buruk antaranya sibuk menyalahkan kerajaan di kedai kopi dan menunggu bantuan.

“Esok dapat bantuan lain pula ceritanya.

“Ada subsidi baja pun di jual. Dapat duit lebih gatal boleh kahwin dua tiga bini lagi dan beranak anak macam kucing!” katanya.

Chef Wan berkata perkara itu benar-benar berlaku di Felda tempat beliau membesar yang kini semakin turun ke anak cucu.

Ketika era BN, beliau antara segelintir tokoh awam yang bangun menyatakan sokongan terbuka kepada Mahathir bersama Pakatan Harapan dan mengkritik kepimpinan Najib.