Mulut ditutup, tangan diikat - Protes 16 Julai ini

  • 6 years ago
Sebuah NGO yang dikenali sebagai Pemantau Malaysia Baru akan menganjurkan himpunan pada 16 Julai bagi membantah 'pemerintahan DAP' yang didakwanya "memperkudakan" Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam satu kenyataan, Presidennya, Lokman Noor Adam berkata bantahan itu akan diadakan di kawasan parkir Bukit Aman sempena keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong ke majlis angkat sumpah anggota parlimen di Dewan Rakyat.

Pada himpunan itu, mereka akan berarak dengan mulut ditutup dan tangan diikat sebagai simbolik hilangnya hak Yang di-Pertuan Agong.

Lokman mendakwa tindakan DAP mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi sudah semakin menampakkan kejayaan, bermula dengan pelantikan Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan dan Gobind Singh Deo sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Katanya, terbaru Tun Md Raus Shariff didesak meletakkan jawatan bagi dilantik seorang lagi "penganut Kristian", Tan Sri Richard Malanjum ke jawatan penting itu.

Richard, katanya merupakan hakim yang membenarkan kes murtad Lina Joy pada 2007 dan merupakan salah seorang daripada tiga hakim pada yang telah mengundi untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah bagi merujuk kepada Jesus oleh akhbar The Herald.