Terima kasih Malaysia kerana Jumanji - The Rock

  • 6 years ago
Pelakon terkenal dunia Dwayne Johnson meluahkan rasa terima kasih kepada rakyat Malaysia dalam satu video yang dimuat naik di laman rasmi Instagramnya.

Dwayne atau lebih dikenali dengan panggilan The Rock mengucapkan kata-kata itu susulan kejayaan filem sekuel Jumanji yang berjaya tersenarai sebagai filem ketiga terlaris di Malaysia biarpun baru ditayangkan dua minggu.

"Terima kasih Malaysia! Jumanji sudah menjadi filem ketiga paling laris, mungkin juga nanti boleh jadi filem yang terlaris, siapa tahu? Saya dan Malaysia sudah 'kenal' lama sejak zaman saya sebagai ahli gusti dahulu".

"Malah ada beberapa aksi pertarungan (perlawanan gusti) yang tidak dapat dilupakan di Kuala Lumpur, selamanya saya berterima kasih atas sokongan anda semua".

Setakat 1 Januari lalu sekuel Jumanji dengan bajet kira-kira RM402 juta itu sudah mencatatkan kutipan pecah panggung lebih RM1.4 bilion sejak mula ditayangkan di seluruh dunia pada 14 Disember lepas.

Diadaptasi daripada buku fantasi kanak-kanak judul yang sama keluaran 1981, sekuel pertama Jumanji diterbitkan pada 1995 lalu dengan kos RM261 juta dan pulangan kutipan RM1.06 bilion.