Netizen terbit video 3D tragedi kebakaran tahfiz

  • 7 years ago
Satu video tiga dimensi(3D) mengenai gambaran tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di muat naik di laman sosial sejak beberapa hari lepas.

Video berdurasi 3 minit dan 46 saat yang dimuat naik pengguna Muhamad Harris Nasril didakwa sebagai rekonstruksi 3D yang menggambarkan kejadian berlaku di pusat tahfiz tersebut.

Animasi itu didakwa memberi penjelasan tentang pelan lantai aras asrama pusat tahfiz tersebut berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pihak berkuasa

Video yang dimuat naik itu menimbulkan pelbagai reaksi netizen yang selama ini hanya mengetahuinya berdasarkan laporan berita pelbagai saluran.

Ada yang mempersoalkan kewajaran video berkenaan yang dianggap cuba membawa persepsi negatif kepada umum.
Namun segelintir netizen menyambut baik video rekonstruksi yang sedikit-sebanyak memberi pemahaman terhadap insiden.

Kira-kira pukul 5.15 pagi, 14 September lalu, 21 pelajar dan dua warden maut selepas terperangkap di tingkat tiga asrama bangunan sementara pusat tahfiz berkenaan yang terbakar.

Hasil siasatan lanjut yang dijalankan mendapati terdapat unsur khianat dalam kejadian tersebut dan tujuh suspek lelaki berusia antara 11 dan 18 tahun telah ditahan di sekitar lokasi.

Pada Khamis, dua daripadanya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur atas pertuduhan membunuh dalam kejadian di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, dua minggu lalu.