Aksi Trump menari tarian pedang di Arab Saudi

  • 7 years ago
Presiden Amerika Syarikat, Donal Trump selamba menari tarian pedang bersama kumpulan yang menyambut kedatangannya dalam satu acara malam tadi di Arab Saudi.

Ketika ketibaan Trump, kedengaran laungan nyanyian Arab bergema di sepanjang laluan masuk ke dewan majlis.

Trump kemudian bersama isterinya, Melania Trump berjalan melalui karpet merah yang disambut Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

Tertarik dengan kebudayaan tradisional tarian pedang Arab, Trump dengan selamba menari sambil memegang pedang turut mencuri tumpuan media dan delegasi.

Terdahulu, Trump dijangka berusaha memulihkan hubungan Amerika Syarikat dengan dunia Islam, bila Presiden Amerika Syarikat itu tiba di negara ini Sabtu, sebagai destinasi lawatan luar pertama beliau.

Beliau memecah tradisi dengan tidak melawat ke negara-negara jiran seperti Kanada dan Mexico terlebih dahulu, sebelum berkunjung ke negara-negara lain, seperti dilakukan kebanyakan bekas Presiden Amerika Syarikat sebelum ini.

Sebaliknya, beliau memilih membuat kunjungan ke Arab Saudi dan akan menghadiri Sidang Kemuncak Negara Arab, Islam dan Amerika Syarikat serta enam negara - Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama Teluk-Amerika Syarikat pada Sabtu.

Lebih 50 pemimpin Arab dan Islam termasuk Perdana Malaysia Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama-sama Trump akan menghadiri Sidang Kemuncak Negara Arab, Islam dan Amerika Syarikat, sidang kemuncak pertama seumpamanya pada Ahad.