Arab Saudi serbu kilang air zamzam palsu

  • 7 years ago
Ratusan ribu botol air zamzam palsu dimusnahkan pihak berkuasa Arab Saudi dalam serbuan besar-besaran di seluruh negara baru-baru ini.

Turut disita, puluhan premis dan kedai yang terlibat dengan kegiatan terbabit.

Saudi Gazette melaporkan serbuan itu susulan aduan mengenai pihak tertentu yang didapati cuba mengambil kesempatan ekoran permintaan tinggi terhadap air zamzam sebagai minuman utama ketika berbuka puasa selain kuantiti besar yang sering dibeli oleh jemaah umrah sepanjang Ramadan.

Kerajaan Arab Saudi membenarkan hanya kedai-kedai berdaftar untuk menjual air zamzam bagi mengekang pengedarannnya di pasaran gelap serta memastikan para jemaah dan penduduk menerima bekalan air zamzam tulen.

Namun masih terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang mengeluarkan air zamzam palsu yang telah dicampur dengan air biasa.

Awal minggu ini, pihak berkuasa Madinah berjaya merampas lebih 3,000 botol air zamzam palsu yang ditampal dengan pelekat Projek Air Zamzam Raja Abdullah di tempat letak kereta di sebuah kawasan perumahan.

Kementerian Perdagangan dan Pelaburan turut mengumumkan penutupan sebuah kilang di Buraydah yang didapati mengisi semula botol air zamzam de­ngan air biasa dan merampas lebih 6,500 botol air palsu itu dalam serbuan yang dilakukan baru-baru ini.

Kementerian itu juga menyita sebuah gudang haram di Mekah yang menyimpan air zamzam dan menjualnya ke kedai-kedai tidak berdaftar dan kira-kira 200,000 botol air turut dimusnahkan.

Masalah sama turut dilaporkan merebak di bandar-bandar kecil apabila kementerian sama bertindak merampas lebih 1,600 botol air zamzam palsu di bandar Hayil yang terletak di tenggara Arab Saudi.