'Kalau dok kritik, tak adillah. Bush tak kritik Obama'

  • 8 years ago
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata adalah tidak adil jika pemimpin sebelum ini mengkritik kepimpinan hari ini, sambil menjelaskan bekas presiden Amerika Syarikat, George W.Bush tidak pernah mengkritik Presiden Barack Obama.

Kata Najib, pemimpin China juga terus 'menghilangkan diri' selepas bersara dan ia merupakan cara yang baik untuk memastikan pentadbiran negara berjalan lancar tanpa diganggu bekas pemimpin.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab Program 60 Minit Bersama Perdana Menteri yang disertai 350 mahasiswa dan mahasiswi dari universiti dalam dan luar negara dan wakil persatuan belia di Seri Perdana pada Khamis lalu.

Najib berkata, setiap perdana menteri akan membawa negara ke satu tahap tertentu dan perdana menteri yang seterusnya akan membawa ke tahap lebih baik selepas itu.

Najib berkata, beliau berhasrat melakukan pelbagai perkara yang tidak dapat dilakukannya ketika menjadi pemimpin termasuklah bermain bola sepak, menulis buku dan melawat negara-negara yang belum dilawati, selepas bersara kelak.