Aset ATM diguna hantar bekalan makanan ke pedalaman Sabah dan Sarawak

  • 4 years ago
Aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk helikopter akan diatur gerak ke kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak untuk menghantar bekalan makanan dan keperluan asas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Mesyuarat Khas Covid-19 Bersama Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri hari ini bersetuju supaya tindakan berkenaan diambil.

"Kita dapat aduan dari penduduk di rumah panjang misalnya… kadang-kadang tidak dapat dihantar barangan keperluan asas kepada mereka.

"Jadi mesyuarat telah putuskan dan telah dipersetujui bahawa pihak tentera akan menggunakan aset mereka seperti helikopter untuk hantar produk-produk ataupun barang-barangan makanan dan keperluan asas ke kawasan pendalaman di Sabah dan Sarawak," katanya.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata penduduk di kawasan berkenaan tidak perlu khuatir kerana kerajaan akan sentiasa memastikan bekalan makanan dan sebagainya untuk mereka mencukupi.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat berkenaan yang dipengerusi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.