Tumpu selesai masalah, bukan sibuk rebut kuasa - Sultan S'gor

  • 4 years ago
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan, rakyat sudah penat dan gelisah melihat pergolakan politik yang melanda negara sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Titah baginda, ahli-ahli politik dilihat sering berbalah dalam isu-isu politik yang tiada berkesudahan sehingga melupakan tanggungjawab sebenar mereka untuk melaksanakan amanah mentadbir bagi faedah dan kesejahteraan rakyat yang ketika ini sedang mengalami kesempitan hidup yang amat sangat.

“Kos sara hidup semakin hari semakin meningkat akibat kemelesetan ekonomi dunia, matawang ringgit yang semakin merudum, peluang pekerjaan yang semakin mengecil mengakibatkan pengangguran meningkat dan terakhir sekali penularan wabak COVID-19 yang melanda dunia tatkala ini,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-14, di sini, hari ini.