Tiada pilihan lain, tuduhan Zuraida kasar dan biadab!

  • 4 years ago
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail memberi bayangan pihaknya tidak merancang menarik balik surat tuntutan saman yang dikeluarkan kepada Zuraida.

Katanya, meskipun dirinya telah berkecimpung dalam arena politik lebih 33 tahun dan sudah masak dengan asam garam dunia itu, namun tuduhan Zuraida itu disifatkannya terlalu "kasar dan biadab."

"Sepanjang tempoh itu, saya tak pernah saman orang. Tapi apabila sampai satu tahap di mana tuduhan itu dianggap sebagai sangat kasar dan biadab, kita tak ada pilihan lain ...

"Sebab tuduhan ke atas saya itu sangat spesifik bahawa saya menerima berjuta ringgit dari kerajaan PAS Kelantan semasa saya berkhidmat di Kelantan.

"[...] Jadi itu perkara-perkara yang saya rasa perlu diberikan noktah. Berpolitik boleh tapi kena jaga hemah, jaga akhlak dan jaga adab. Tak boleh nak puaskan hati (entertain) penyokong kita saja," katanya.

Selain itu, Saifuddin turut menegaskan proses saman itu dilakukan atas kapasiti individu terhadap Zuraida, bukan atas kapasiti "menteri kepada menteri".

Soalnya kepada pemberita juga, sebagai negeri miskin, adakah munasabah untuk Kelantan memberinya jutaan ringgit berbanding menyalurkan dana itu kepada kawasan-kawasan di negeri itu?

"Itulah yang disebut dalam ucapannya. Apa pilihan yang saya ada?

"Jadi saya kata peguam saya tolonglah hantar surat (tuntutan saman).Itu saja. Kalau dia jawab (bahawa) dia tak bermkasud begitu, itu kemudianlah," katanya lagi.

Sebelum ini, Saifuddin memberitahu surat tuntutan itu telah diterima pada 20 Januari di pihak Zuraida, berkaitan dua tuduhan yang dilemparkan menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu ke atasnya.

Dua tuduhan itu membabitkan dakwaan bahawa beliau ada menerima jutaan ringgit daripada kerajaan Kelantan serta Tabung Tok Kenali.

Menurut Saifuddin, beliau dilantik sebagai pengurus Tabung Tok Kenali pada 2004 hingga 2007 oleh menteri besar Kelantan ketika itu, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tabung Tok Kenali ialah agensi kerajaan negeri yang mengendalikan program bantuan dan khairat kematian untuk semua penduduk Kelantan yang berusia 60 tahun ke atas.

Recommended