Ini minit mesyuarat BN cadang PSS! Jangan kata saya bohong - Shafie
  • 4 years ago
Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal hari ini menunjukkan minit mesyuarat bagi membuktikan bahawa pas sementara Sabah (PSS) adalah cadangan yang dikemukakan BN ketika memerintah.

Shafie mencabar pemimpin pembangkang khususnya Joseph Pairin Kitingan menyamannya jika apa yang diperkatakannya adalah pembohongan.

Jelasnya minit mesyuarat itu mendedahkan bahawa cadangan itu dikemukakan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Pendatang Tanpa Izin Sabah yang dipengerusikan Pairin sendiri pada 14 Mac 2016.

"Apa yang dikatakan mereka (pembangkang) tidak benar, saya hanya memetik apa yang terkandung dalam minit mesyuarat yang dipengerusikannya (Pairin) sendiri pada 2016, (tetapi) dia cakap semalam yang saya ini berbohong tidak ada minit (mesyuarat).

"Kandungan minit itu cukup jelas, bukan kita reka bukan kita cipta saya harap sungguh, janganlah gunakan media sosial dalam kempen-kempem kita sehingga kita nyatakan yang tidak benar itu seakan-akan datang daripada mereka itu benar.

"Ini cadangan pemerintah terdahulu. Dahulu (BN) cadangkan pas residen, sehingga ini berlaku kita kata janganlah buat pas residen. Jadi kita katakan dia bersifat sementara, ia pas sementara," katanya ketika ditemui di pekan Bongawan, Kimanis, hari ini.

Minit mesyuarat yang didedahkan Shafie adalah minit mesyuarat jawatankuasa teknikal pengurusan warga asing di Sabah.

Dalam mesyuarat yang berlangsung pada 14 Mac 2016 itu, jawatankuasa itu mencadangkan agar Pas Residen Sabah diperkenalkan.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Pairin sendiri dan turut dihadiri beberapa pemimpin kerajaan negeri ketika itu, antaranya Sukarti Wakiman (setiausaha kerajaan negeri), Borhan Dolah (setiausaha persekutuan Sabah) dan Sakib Kusmi (ketua pengarah Jabatan Imigresen Sabah).

Malam tadi ketika himpunan muafakat rakyat Sabah di Kimanis, Pairin yang juga bekas ketua menteri menyifatkan Shafie berbohong apabila mendakwa PSS diluluskan BN ketika beliau mentadbir negeri itu.