‘Nik Abduh alim ulama juga, ambo ustaz kampung’

  • 5 years ago
Pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Nik Omar Nik Abdul Aziz memilih pendekatan harmoni ketika diminta mengulas kenyataan adiknya Nik Mohamad Abduh berhubung isu Dr Zakir Naik.

Sambil berseloroh Nik Omar berkata, beliau menghormati kenyataan Nik Abduh, yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS, dan menyifatkan anggota Parlimen Bachok itu seorang alim ulama.

"Secara mudahnya kita hormat kenyataan dia sebab dia pun orang alim ulama juga, ambo (saya) ini ustaz kampung.

“Kalau tanya ambo tentunya jawapan atau cara nak tangani satu-satu isu berbeza antara pembangkang dan pihak kerajaan.

"Mentaliti secara umum rakyat Malaysia, apabila sebut pembangkang, apa saja yang dibuat oleh kerajaan kita bangkang. Dan mentaliti umum juga sebuah kerajaan, apa yang pembangkang kata semua salah belaka," katanya.

Nik Omar berkata demikian ketika menjawab pertanyaan seorang peserta pada forum “Islam Terancam: Apa peranan kita?” anjuran Yadim di Kota Bharu, semalam.

Peserta tersebut bertanya pendapat Nik Omar mengenai kenyataan Nik Abduh yang menegaskan hanya umat Islam yang munafik sahaja yang bersetuju menghalau Zakir dari Malaysia.

Terdahulu, Nik Abduh antara lain berkata, mana-mana golongan bukan Islam yang mahu menghalau Zakir adalah musuh agama itu.

Kenyataannya itu dipercayai dibuat sebagai respons kepada reaksi kurang senang pelbagai pihak terhadap kenyataan pendakwah dari India itu pada syarahan di Kelantan, Khamis lalu.