Audio Nik Abduh lebih pada perbincangan akademik dari segi ilmu – Hadi

  • 5 years ago
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan rakaman suara kontroversi anggota parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sebagai “perbincangan akademik”.

“Saya tak ada rakaman itu tapi saya dimaklumkan ia lebih kepada perbincangan ilmu, akademik, boleh (atau) tak boleh kira terima bantuan orang ini.

“(Contohnya) macam orang berniaga kedai runcit, bila orang datang kedai dia, tak wajib dia tanya duit mana awak ambil ini nak beli barang saya,” kata Abdul Hadi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Majlis Ramah Mesra bersama komunti PAKR Sungai Kerak, Marang, malam tadi, selepas ditanya pemberita.

Abdul Hadi juga berkata, ia juga seperti derma kepada PAS yang tidak tahu daripada mananya ia datang.

“Yang kita PAS kita beri nombor akaun, banyak orang derma, termasuk ketika PRU baru-baru ini termasuk orang cina bukan Islam, kita tak tanya parti politik dia.

“PAS dapat sumbangan orang ramai dan kita beri segala kenyataan termasuk isu RM90 juta, setiausaha agung turut bagi kenyataan untuk siasatan,” katanya.

Semalam Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan rakaman audio berkaitan dakwaan dana daripada Umno merupakan suara Nik Mohamad Abduh.