Nik Abduh ajak orang PAS lupakan dendam pada Umno

  • 5 years ago
Selepas pemimpin tertinggi PAS menyatakan sokongan padu mereka kepada calon BN, malam tadi anak bekas mursyidul Am PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz pula memainkan peranannya.

Nik Abduh yang juga anggota Jawatankuasa Pusat PAS berkata anggota parti itu wajar melupakan dendam mereka selama bertahun-tahun kepada BN.

Bagaimanapun beliau mengakui langkah tersebut bukanlah sesuatu yang mudah terutama buat presiden mereka, Abdul Hadi Awang.

"Walaupun dia sedih, apabila Umno kalah (dan) pemimpin Umno datang minta maaf pada dia, dia orang pertama yang berbaik dengan Umno," katanya di hadapan kira-kira 300 hadirin di Dataran Felda Sungai Koyan 1 malam tadi.

PRK Cameron Highlands bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara calon BN Ramli Mohd Nor, M Managoran dari PH, serta dua calon bebas, Salehuddin Abd Talib dan Wong Seng Yee.

Seperti beberapa PRK lalu, PAS memberi laluan kepada Umno meletakkan calon bagi mempertahankan kerusi Cameron Higlands yang sebelum ini diwakili MIC.

Untuk rekod pada PRU ke-14 lalu PAS turut meletakkan calonnya di kerusi berkenaan.