Dakwaan hubungan Nik Abduh-CIA, Pemuda Amanah adu pada polis
  • 5 years ago
Pengakuan Nik Abduh Nik Abdul Aziz bahawa beliau memang orang yang ada dalam rakaman audio tersebut dan apa yang dikatakannya itu benar perlu dilihat lebih daripada isu dana Umno, kata Pemuda Amanah.Naib ketuanya, Shazny Munir Mohd Ithnin, berkata antara isu lain yang turut penting diberi perhatian ialah pengakuan anak bekas menteri besar Kelantan itu.Katanya Nik Abduh - dalam rakaman audio berkenaan - mendakwa dia mempunyai hubungan akrab dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.Shazny berkata demikian kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur hari ini.Untuk rekod, isu rakaman audio itu pernah panas suatu ketika dulu namun Nik Abduh menganggapnya sebagai "karut dan marut".Namun selepas saman Presiden PAS Abdul Hadi Awang terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, ditarik balik dan diselesaikan di luar mahkamah isu berkenaan ditimbulkan semula.Dipercayai ia didalangi satu kumpulan lain yang bertembung dalam PAS dan digelar Nik Abduh sebagai "budak-budak terlebih tenaga".Dalam rakaman audio, Nik Abduh mengakui PAS menerima dana daripada Umno dan ia berada dalam pengetahuan Abdul Hadi.Nik Abduh juga mendakwa dia mempunyai hubungan akrab dengan CIA sehingga perkembangan yang berlaku di negara jiran berada dalam pengetahuannya.Pada 12 Feb lalu Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengesahkan suara dalam rakaman audio itu milik Nik Abduh.Menurut Shazny Munir disebabkan ancaman keselamatan terhadap negara boleh dianggap besar - berdasarkan dakwaan Nik Abduh itu - polis wajar menjalankan siasatan rapi ke atas anggota parlimen Bachok itu.