'Saya bersetuju kapal nelayan asing ditenggelamkan, dijadikan tukun'
  • 5 years ago
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hari ini bersetuju untuk meminda Akta Perikanan 1985 dengan menaikkan denda maksimum daripada RM1 juta kepada RM6 juta.

Menterinya, Salahuddin Ayub berkata pindaan tersebut memfokuskan kepada kenaikkan denda maksimum di bawah Seksyen 25 Akta 317.

“Bagi penangkapan tekong kapal asing yang menceroboh perairan Malaysia akan dinaikkan denda daripada RM1 juta kepada RM6 juta manakala kru kapal, daripada RM100,000 kepada RM600,00.

“Kita juga akan memasukkan penalti baharu denda maksimum bagi kesalahan yang dibuat menggunakan kapal untuk penangkapan ikan tempatan yang beroperasi di laut lepas iaitu tidak melebihi RM4 juta,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Katanya lagi, kementerian bersetuju menggunakan kaedah menenggelamkan kapal asing untuk dijadikan tukun, setelah melalui proses mahkamah.

Jelasnya, perkara itu juga turut menjadi amalan di negara lain yang melakukan tindakan yang sama.