'Bersihkan nama, hantar video untuk dianalisis pakar'

  • 5 years ago
Untuk membersihkan nama, perkara terbaik yang perlu dilakukan adalah dengan menghantar klip video lucah untuk dianalisis pakar tempatan dan antarabangsa, kata ahli jawatankuasa eksekutif DAP Ronnie Liu.

Kata Ronnie, jika video tersebut palsu maka nama individu yang dituduh itu bersih.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam berhubung dakwaan penguatkuasa MBPJ menerima rasuah daripada peniaga di sebuah pasar raya di Petaling Jaya.

Ronnie Liu mengulas klip video seks tular didakwa mirip kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali bersama Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Haziq baru-baru ini menggemparkan negara apabila mendakwa dia adalah individu dalam rakaman klip video seks yang dikaitkan dengan lelaki mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali di sebuah hotel di Sandakan pada 11 Mei.

Dalam pengakuannya sehari selepas video itu disebarkan, Haziq mendakwa kejadian itu dirakam tanpa pengetahuannya dan diedarkan sehari sebelumnya.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas kesahihan klip video tersebut.

Azmin pula menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah jahat dengan niat untuk memusnahkan karier politiknya.