Dr M sendiri yang mahu sidang akhbar solo, jelas Saifuddin
  • 5 years ago
Tindakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bersendirian dalam sidang akhbar ketika mengumumkan penarikan Malaysia daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mencetuskan spekulasi terdapat anggota kabinet tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.

Bagaimanapun, Menteri Luar Saifuddin Abdullah yang menghadiri mesyuarat kabinet sebelum pengumuman itu dibuat, memberi jaminan jemaah menteri menyokong keputusan Mahathir.

Beliau berkata pertemuan dengan media secara solo itu merupakan keputusan dibuat perdana menteri sendiri.

"Perdana menteri memutuskan untuk mengadakan sidang akhbar itu dengan cara itu.

"Macam ni. Kamu bekerja dengan arahan perdana menteri, jadi bila perdana menteri kata dia mahu mengadakan sidang akhbar - dia mahu adakan sidang akhbar.

"Dia tahu yang terbaik bila dia mahu para menteri bersamanya, berapa menteri dan menteri mana yang akan datang ke sidang akhbar itu," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini.

Mahathir dalam sidang akhbar Jumaat lalu berkata Malaysia menarik diri daripada Statut Rom meskipun tidak mempunyai masalah dengannya kerana kekeliruan yang dilakukan "orang tertentu yang ingin bebas memukul orang".