'Mansuh hukuman mati bertentangan dengan undang-undang syariah islam'

  • 5 years ago
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Aminuddin Yahaya berkata memansuhkan hukuman mati adalah bertentangan dengan undang-undang syariah Islam.

Menurut Aminuddin dakwaan bahawa hukuman mati sebagai membalas dendam adalah salah kerana ia sebenarnya bertujuan menegakkan keadilan kepada mangsa.

"Ini bukan mengenai balas dendam, ini mengenai keadilan," kata Aminuddin semasa berucap pada rundingan meja bulat untuk mengekalkan hukuman mati mandatori untuk pembunuh di Wisma MCA

Tambah Aminuddin lagi, undang-undang syariah telah menetapkan mana-mana kes melibatkan kehilangan nyawa dengan bukti jelas, pesalah perlu dihukum mati.

Kerajaan dibawah Pakatan Harapan bercadang untuk menggantikan hukuman mati mandatori dengan hukuman mati atas budi bicara mahkamah bagi sembilan kesalahan mengikut Kanun Keseksaan dan dua kesalahan di bawah Akta Senjata Api (Penalti. Lebih Berat) 1971.

Rabu lepas, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin, berkata langkah itu selaras dengan janji ke-27 manifesto PH untuk memansuhkan hukuman mati mandatori.

Katanya, kerajaan tidak ada cadangan untuk memansuhkan hukuman mati bagi mana-mana undang-undang yang ada di negara ini.