Nilai keperluan pinda hukuman mati mandatori dalam akta jenayah - TPM

  • 6 years ago
Kerajaan sedang melihat keperluan meminda hukuman mati mandatori yang terkandung dalam mana-mana akta berkaitan jenayah yang dilaksanakan di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata ketika ini kerajaan hanya menangguhkan hukuman gantung terhadap pesalah berkaitan dadah.

Beliau berkata mesyuarat Kabinet yang lalu telah mengambil ketetapan meneruskan keputusan kerajaan sebelum ini menangguhkan hukuman gantung terhadap 17 banduan berkaitan kes dadah yang berada dalam senarai untuk menjalani hukuman gantung.

"Dalam konteks lebih luas, kami turut menyentuh mengenai keperluan untuk melihat semula sama ada perkara sama juga boleh diambil terhadap pesalah dalam jenayah lain," katanya pada sidang media selepas melancarkan EduWAQF, iaitu wakaf pendidikan hasil inisiatif AWQAF Holdings Berhad di Pusat Konvensyen Bangi hari ini.