Najib ulas cadangan Dr M

  • 5 years ago
Mengulas galakan penswastaan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mengecilkan saiz penjawat awam, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata ia bukanlah ubat terhadap segala masalah.

Kata Najib, keberkesanan penswastaan seperti yang dicadangkan Dr Mahathir bergantung kepada beberapa faktor.

“MAS (Malaysia Airlines) pernah diswastakan semasa zaman beliau (Dr Mahathir). [...] Kita terpaksa bayar RM1.6 bilion untuk membelinya semula. Itu penswastaan yang tak berjaya (went awry).

“Kita selamatkan, kita tebus (bailout) penswastaan tersebut.

“Jadi, penswastaan bukanlah ubat kepada segala masalah, ada beberapa keadaan yang perlu diambil kira bagi memastikan adakah langkah itu langkah yang tepat,” katanya kepada pemberita selepas tamat sesi Dewan Rakyat di parlimen hari ini.

Bagaimanapun, Najib tidak menolak mentah-mentah cadangan Dr Mahathir itu.

Ketika disoal tentang skim pemisahan sukarela (VSS) yang pernah dilaksanakan terhadap MAS pada zamannya yang mirip dengan cadangan Dr Mahathir, Najib berpendapat tiada salahnya pelaksanaan seumpama itu.