PTPTN kutip RM13.86 bilion bayaran balik pinjaman
  • 5 years ago
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjaya mengutip RM13.86 bilion atau 68.62 peratus daripada 1.5 juta peminjam setakat ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata sehingga Sept 2018, seramai 2,963,345 peminjam telah diluluskan pinjaman PTPTN dengan jumlah pinjaman sebanyak RM54.37 bilion.

"Bagaimanapun, seramai 373,975 atau 19.65 peratus masih belum membuat bayaran balik pinjaman berjumlah RM2.74 bilion," katanya ketika menjawab pertanyaan Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru) berhubung jumlah peminjam dan jumlah pinjaman PTPTN sehingga Jun 2018 serta anggaran pinjaman PTPTN yang akan dikeluarkan kepada peminjam baru setiap tahun sehingga tahun 2023.

Menurut Teo, demi kesinambungan pinjaman kepada peminjam baharu, PTPTN telah menjalankan kajian holistik mengenai dasar baharu bayaran balik pinjaman PTPTN setelah mengambil kira dana peminjam baharu dan dalam masa yang sama menyesuaikannya dengan kemampuan bayaran balik oleh peminjam.