Lukaku mengamuk

  • 7 years ago
Romelu Lukaku dan Anthony Martial membantu pasukannya membenam CSKA Moscow ketika Manchester United menguasai Kumpulan A, Liga Juara-Juara dengan kemenangan 4-1, awal pagi tadi.

Memetik AFP, Lukaku menjaringkan dua gol pada minit ke-4 dan minit ke-27 di VEB Arena, Moscow seterusnya mengumpul 10 gol dalam sembilan perlawanan buat United.

Martial pula dua kali membantu Lukaku serta menjaringkan penalti pada minit ke-19, sebelum Henrikh Mkhitaryan melengkapkan kemenangan di babak kedua pada minit ke-57.

Ia adalah kemenangan pertama United di tempat lawan dalam kejohanan itu sejak November 2013.

Ketika Basel membelasah Benfica dalam kumpulan sama, ia memberikan skuad kendalian Jose Mourinho tiga mata penuh untuk menghuni kedudukan teratas kumpulan A.

"Kami bermula dengan sangat baik. Kami mengejutkan mereka," kata Mourinho. "Disebabkan kami, mereka tidak nampak bagus seperti mana yang sebenar.

"Lukaku memiliki rekod yang hebat. Kami tahu dia adalah pemain yang sangat bagus yang boleh menjaringkan banyak gol. Dia dikelilingi pemain berkualiti.

"Kami berada dalam posisi yang bagus berbaki empat perlawanan," kata pengendali dari Portugal ini.

Selepas menang 1-0 di Southampton dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada Sabtu lalu, United kembali mendapatkan gaya permainan terbaik di ibu kota Russia.

Kepantasan dan pergerakan pasangan penyerang baharu - Lukaku dan Martial membuatkan CSKA pening kepala sepanjang perlawanan berkenaan.

Tuan rumah hanya meraih gol sagu hati menerusi jaringan Kuchaev pada minit terakhir perlawanan.