Polis 'peluk' lelaki mengamuk acu pisau di balai polis
  • 7 years ago
Seorang anggota polis dengan tenangnya bertindak menenangkan seorang lelaki yang mengacukan pisau ke arahnya di balai polis Huay Kwang di Thailand, pada Sabtu lalu.

Dalam video tular di media sosial, anggota polis berbadan tegap yang dikenali Anirut Malee, cuba memujuk lelaki terbabit yang secara tiba-tiba mengamuk di balai polis itu.

Lelaki itu akhirnya menyerahkan pisau itu kepada Anirut setelah berjaya dipujuk.

Kemudian, anggota polis itu memeluknya dengan erat.

Setelah beberapa ketika, lelaki itu diberi air dan duduk sementara menunggu pihak hospital datang ke balai polis itu.

Menurut Anirut, lelaki itu mengamuk kerana berada dalam tekanan hidup apabila gajinya sebagai pengawal keselamatan tidak dibayar majikannya.

Lelaki itu, yang sebelum ini adalah ahli muzik, juga telah kehilangan gitar kesayangannya.

Rata-rata netizen memuji tindakan Anirut yang berjaya memujuk lelaki itu tanpa menggunakan senjata mahupun kekerasan.

Bagaimanapun, lelaki dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan tiada dakwaan dilaporkan.