Buli: Najib minta seniman main peranan

  • 7 years ago
Ekoran masalah buli dan gangsterisme yang semakin berleluasa kebelakangan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta agar penggiat seni dapat memainkan peranan dalam menyemai nilai murni kepada masyarakat.

Dalam majlis berbuka puasa dengan penggiat seni yang julung-julung kali diadakan hari ini, Najib berharap agar golongan berkenaan memainkan peranan bagi mengatasi masalah buli dan gangsterisme.

"Saya setuju bahawa ada kelompongan dalam masyarakat iaitu soal mengukuhkan jati diri individu bangsa kita dan negara.

"Sehari dua ini soal masalah gangster dan buli dalam masyarakat jadi perhatian umum. Saya harap tuan puan boleh mainkan peranan masing-masing untuk tanam nilai kemanusiaan yang lebih mulia di kalangan masyarakat.

"Saya harap disinilah peranan penggiat seni dan tuan puan yang bergerak dalam bidang kreatif boleh bantu kita supaya asas masyarakat boleh kita letakkan dengan pengisian lebih mulia," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis berbuka puasa bersama sasterawan, karyawan, seniman, budayawan dan penyiar di Seri Perdana Putrajaya.