Pemandu 'langgar lari' akhirnya serah diri
  • 7 years ago
Pemandu Ford Fiesta, yang melanggar kereta Nissan Almera sebelum melarikan diri di Kilometer 24 24 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh menghala Rawang, Ahad lalu hingga viral di media sosial, ditahan semalam.

Berita Harian melaporkan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Kamaludin Mohamad, berkata lelaki berusia lingkungan 20-an itu ditahan ketika menyerah diri di Balai Polis Rawang.

Beliau berkata, tindakan itu dibuat selepas polis ke rumah suspek dan menasihati keluarganya supaya memaklumkan kepada lelaki itu untuk datang ke balai menyerah diri.

"Kemalangan kira-kira jam 6.55 pagi itu dipercayai berlaku apabila suspek melanggar bahagian belakang sebelah kanan kenderaan dipandu seorang jurual yang datang dari arah Kepong menghala ke Rawang.

"Kemalangan hanya membabitkan kerosakan pada kenderaan dan tidak membabitkan kecederaan serius," katanya.

Kamaludin berkata suspek yang juga seorang penjawat awam ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Polis turut mengambil sampel air kencingnya untuk dianalisis.

Terdahulu, rakaman video berdurasi 42 saat itu memaparkan sebuah kereta Ford Fiesta dipandu secara melulu dan memotong enam buah kenderaan, termasuk sebuah lori kecil.

Bagaimanapun, cubaannya untuk memotong Nissan Almera ketika tiba di satu selekoh gagal dan terlanggar bahagian belakang kenderaan itu.

Perlanggaran itu menyebabkan kenderaan mangsa hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan sebelum dilanggar sekali lagi oleh kenderaan suspek.

Dalam keadaan itu, suspek tidak memberhentikan kereta, sebaliknya terus memecut meningalkan lokasi kejadian.