Majikan perlu pastikan pekerja warga asing patuhi PKP - KM Pulau Pinang
  • 4 years ago
Kerajaan Negeri Pulau Pinang menasihatkan semua majikan yang menggunakan pekerja warga asing dan komuniti pelarian agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan memantau tahap kesihatan mereka bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negeri ini.


Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, sekiranya majikan tidak memastikan keselamatan serta kesihatan komuniti migran ia secara tidak langsung akan menggagalkan usaha untuk mematahkan rantaian penularan virus itu.

Menurutnya, kerajaan negeri telah menasihati pihak majikan seperti Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan Persatuan Pemanu Hartanah dan Perumahan (REHDA) Cawangan Pulau Pinang untuk memastikan keselamatan dan kebajikan pekerja masing-masing termasuk pekerja migran terjamin.

"Kita sedar bahawa virus Covid-19 ini tidak mengenal kaum, agama dan warganegara, oleh itu, perlu dipastikan juga agar pekerja asing di negeri ini mematuhi segala perintah yang dikuatkuasakan kerajaan.

"Jika kita tidak memastikan keselamatan serta kesihatan komuniti migran di negeri kita, secara tidak langsung rakyat Pulau Pinang dan rakyat Malaysia juga yang akan terkesan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.
Recommended