Kerajaan bincang harga kompaun RM1000, ekoran ramai masih ingkar PKP
  • 4 years ago
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob tidak menolak kemungkinan untuk menaikkan kompaun RM1,000 yang dikenakan terhadap pesalah yang melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana masih ada yang ingkar arahan itu.

Pada sidang akhbar hariannya, di Putrajaya, beliau membandingkan jumlah kompaun di negara ini yang menurutnya jauh lebih rendah daripada yang dikenakan oleh kerajaan di Singapura, Korea Selatan dan Indonesia.

“Cuma (di) Malaysia setakat ini masih lagi RM1,000 mungkin kita nak minta pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) bincang dengan pihak Peguam Negara (AGC).

“Mungkin kalau perlu, kita boleh naikkan lagi denda ataupun kompaun yang dikenakan. Dari segi penjara pun mungkin boleh tambah dan sebagainya.

“Supaya ini dianggap boleh dijadikan sebagai deterrent ataupun pastikan tidak ada lagi, mungkin ada ketakutan daripada rakyat supaya tidak lagi melakukan pengingkaran kepada PKP ini,” katanya ketika ditanya mengenai jumlah ingkar yang masih tinggi.