COVID-19: KKM tawar kontrak 6 bulan bagi khidmat doktor, jururawat
  • 4 years ago
Kementerian Kesihatan (KKM) sedang berusaha mendapatkan khidmat pengamal penjagaan kesihatan swasta untuk menyertai pasukan barisan depan dalam menghadapi wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu pemberita hari ini bahawa mereka merancang menawarkan enam bulan kontrak pekerjaan kepada doktor dan jururawat yang berminat untuk membantu negara menangani pandemik berkenaan.

"KKM sedang berbincang dengan agensi pusat dalam memperhalus mekanisme pengambilan berdasarkan kontrak untuk profesional perubatan yang berhasrat berkhidmat dengan kementerian semasa wabak Covid-19," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya.

Menurutnya, kementerian sedang mencari pakar swasta, serta pegawai perubatan dan jururawat untuk mengisi jawatan berkenaan.

"Pakar perubatan swasta yang sanggup membantu KKM selama enam bulan adalah dialu-alukan untuk mengambil tawaran itu.

"(Sama juga) bagi pegawai perubatan dan jururawat, seperti yang disebutkan sebelum ini," katanya.

Sebelum ini, Noor Hisham telah mengumumkan bahawa KKM sedang meneliti semula senarai doktor dan jururawat bersara yang mahu menjadi sukarelawan untuk membantu KKM.
Recommended