Usul tak percaya pada Muhyiddin tak akan berjaya lagi - Dr M
  • 4 years ago
Usul tidak percaya terhadap perdana menteri tidak akan berjaya lagi kerana Muhyiddin Yassin telah berjaya mengukuhkan kedudukannya, kata Mahathir Mohamad.

Dalam wawancara dengan Sinar Harian yang disiarkan hari ini, bekas perdana menteri itu percaya kerajaan baru Perikatan Nasional (PN) mampu berkuasa sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Mahathir berkata sokongan 114 kerusi padanya sebelum ini semakin kurang kerana Muhyiddin telah menarik ahli parlimen yang pada awal memberi sokongan kepadanya.

“Boleh bertahan sampai PRU. Sekarang ini bila dia (Muhyiddin) jadi kerajaan, dia dapat bagi gula-gula kepada banyak orang. Saya dapati beberapa orang yang menjadi penyokong saya, sekarang ini dilantik menjadi menteri, maka mereka berpindah ke sebelah sana,” katanya.

Berlangsung selama 80 minit, wawancara itu ialah temu bual pertama Dr Mahathir dengan organisasi media selepas meletakkan jawatan secara mengejut pada 24 Februari.

Sementara itu, Mahathir turut berharap agar Muhyiddin meneruskan dasar-dasar kerajaan lama.