"Saya tercari-cari nama saya tidak terlibat" - Presiden PBS
  • 4 years ago
Malam tadi ketika himpunan muafakat rakyat Sabah di Kimanis, Presiden PBS Joseph Pairin Kitingan yang juga bekas ketua menteri menyifatkan Shafie berbohong apabila mendakwa PSS diluluskan BN ketika beliau mentadbir negeri itu.

Menurut Pairin, dakwaan itu tidak berasas kerana beliau tidak mempengerusikan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menangani masalah pendatang asing tanpa izin (PTI) di Sabah ketika itu.

“Walaupun saya sudah pencen, tapi nama saya disebut-sebut dalam surat khabar. Mereka yang selaku sebut-sebut nama saya ini nampaknya mengaitkan saya dengan PSS.

“PSS tidak wujud dalam kita punya buku, laporan RCI. Yang tersebut dalam buku ini adalah mengenai pas residen, bukan PSS. Mereka (Warisan) telah mengatakan RCI telah mencadangkan kewujudan PSS," kata Pairin.

PSS ialah dokumen baru Jabatan Imigresen yang dikeluarkan terhadap pendatang, bagi menggantikan dokumen sedia ada iaitu IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci.

Ini susulan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing pada 6 Sept, 2019 dan diumumkan kemudian Muhyiddin pada hari yang sama.

Pemegang IMM13 ialah pelarian Filipina yang melarikan diri ke Sabah pada 1970-an. Ia terjadi ketika meningkatnya keganasan puak pemisah di rantau Mindanao yang menyaksikan ramai pelarian daripada rejim Marcos.

Pendatang ekonomi, sebaliknya diberikan Kad Burung-Burung pada tahun 1980-an. Selainnya, diberikan kad Sijil Banci oleh Pasukan Petugas Khas Persekutuan pada 1990-an.

IMM13 dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen, manakala kad Burung-Burung oleh Jabatan Ketua Menteri (JKM) dan sijil banci oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).