Perpaduan, pembangunan penting untuk ummah - Agong

  • 4 years ago
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru umat Islam supaya meningkatkan usaha ke arah perpaduan dan pembangunan bagi mengatasi pelbagai cabaran hidup dalam dunia yang sangat kompleks.

"Pada saya, keperluan untuk perpaduan ummah serta membawa pembangunan kepada komuniti kita adalah dua kaedah paling penting untuk menghadapi cabaran-cabaran itu," titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah umat Islam kini hidup dalam pelbagai kategori yang menjadikan mereka berada dalam perseteruan dan kebencian antara satu sama lain, sikap tidak bertoleransi sehingga mencapai tahap membimbangkan selain diselubungi b​​erita sedih dan kesengsaraan, serta tragedi dan kehilangan.

"Bagaimanapun, saya amat merasakan keadaan ini tidak seharusnya berlaku dan kita boleh melihat diri kita sendiri untuk mencari jalan damai, kerana Islam adalah agama yang menggalakkan rasionalisasi, pemikiran saintifik dan etika yang kuat," titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian semasa merasmikan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL) 2019 di Kuala Lumpur hari ini yang dihadiri para pemimpin Islam seperti Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Iran Hassan Rouhani.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Dalam titah diraja itu, Al-Sultan Abdullah bertitah umat Islam datang dari pelbagai negara yang mempunyai sejarah dan amalan berbeza.