Kenaikan harga petrol RON95 naik satu sen seminggu, belum muktamad
  • 4 years ago
Kerajaan belum memuktamadkan mekanisme kenaikan harga petrol RON95 sebanyak satu sen setiap minggu sebagaimana dilaporkan media semalam.

Tegas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kementerian masih membincangkan mengenai perkara ini bagi mendapatkan solusi terbaik dalam menentukan harga minyak RON95 termasuk perlaksanaan Program Subsidi Bersasar.

Jelasnya, banyak perkara perlu dipertimbang untuk menaikkan harga petrol termasuk melihat kesannya terhadap indeks harga pengguna dan inflasi.

Penentuan asas harga petrol itu juga harus mengambil kira beberapa mekanisma antaranya kadar pertukaran mata wang asing dan harga minyak mentah semasa.

Selain itu, kementerian akan bersama Jabatan Perangkaan bagi membantu KPDNHEP dari segi model simulasi mengenai kesan kenaikan harga petrol.

Datuk Seri Saifuddin menyatakannya selepas Perasmian penutupan dan Aspresiasi Program Citarasa Malaysia di ibu negara.

Semalam, Timbalan Menteri KPDNHEP, Chong Chieng Jen ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat menyatakan harga petrol RON95 akan diapungkan dan dinaikkan satu sen setiap minggu hingga harga RON95 mencapai harga pasaran.